Fadhilat dan Checklist Amal



Muat turun Checklist Amalan Di Tanah Suci disni!

Fadhilat Amal.

1. Solat Sunat Dhuha.

Dari Abu Hurairah, Sabda Nabi saw:
"Telah berpesan kepadaku temanku (Rasulullah SAW) tiga macam pesanan: Puasa 3 hari setiap bulan,  sembahyang dhuha 2 rakaat dan  sembahyang witir sebelum tidur" (riwayat Bukhari, Muslim dan Thabarani).

Dari Anas bin Malik, Sabda Nabi SAW:
"Barang siapa sembahyang dhuha 12 rakaat, Allah akan membuat baginya istana daripada emas di syurga" (riwayat Tirmidzi & Ibnu Majah).

Dari Abu Hurairah RA dari Nabi SAW , beliau bersabda :
"Bahawasanya di syurga ada pintu yang dinamakan, "Dhuha." Maka jika kamu datang hari kiamat kelak, serulah (malaikat) penyeru: manakah orang-orang yang telah mengerjakan solat Dhuha? Inilah pintu kamu, silakan masuk ke dalam dengan rahmat Allah." (riwayat AT-Tabrani).


2. Solat Sunat Awwabin.

Dari Abu Hurairah RA, Nabi SAW telah bersabda ;
"Sesiapa yang bersembahyang enam rakaat sesudah Maghrib tiada diselang antaranya dengan sesuatu bicara nescaya samalah pahalanya dengan ibadat dua belas tahun." (Riwayat Ibnu Majah, Ibn Khuzaimah dan At-Turmuzi)

Tujuan: Bagi memelihara keteguhan iman dan menghapuskan dosa, adalah digalakkan melakukan solat sunat Awwabin/Hizful Iman sebanyak 4 rakaat (2 salam) atau 6 rakaat ( 3 salam). Dilakukan sebelum bercakap-cakap selepas fardhu Maghrib.

Doa: Ya Allah! Sesungguhnya Aku menyerahkan imanku kepada peliharaan Mu, maka imanku itu,
semasa hidupku, semasa matiku, dan selepas matiku. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu."

3.Solat Sunat Tahajjud.

Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda :
"Tuhan Kami, Pemberi Berkat, Yang Maha Kuasa, turun setiap  malam hingga ke langit yang paling dekat dengan kita (langit dunia) pada akhir 1/3 malam dan Dia berfirman ; Sesiapa yang berdoa kepadaKu, akan Aku Kabulkan. Sesiapa yang meminta sesuatu dariKu, akan Kuberikan. Sesiapa yang memohon keampunan kepadaKu, akan Aku ampunkan." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Dari Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
"Syaitan akan mengikat kamu dengan 3 simpulan pada belakang kepala ketika kamu tidur, Pada setiap simpul dia berkata : Malam masih panjang, maka teruskan tidurmu. Apabila seseorang itu bangun dan mengingati Allah, maka terlepaslah satu simpul. Apabila dia berwuduk, terlepas pula  simpul kedua, apabila dia mengerjakan solat, maka terlepas pula simpul yang ketiga. Dan pada pagi harinya (Subuh) dia akan bangun dengan penuh semangat dan dalam keadaan hati yang baik; sebaliknya, jika dia tidak melakukan perkara tersebut (mengingati Allah, berwuduk dan solat malam), dia akan bangun pagi dalam keadaan hati yang buruk dan malas." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

4. Membaca Al-Quran.

Abdullah bin Mas'ud meriwayat bahawa Rasullah SAW bersabda:
"Sesiapa yg membaca satu huruf daripada kitab Allah maka untuknya diberi satu 'hasanah' (kebaikan) sebagai ganjaran bagi huruf itu dan satu hasanah adalah sama dengan sepuluh pahala. Aku tidak berkata alif , lam, mim sebagai satu huruf tetapi alif adalah satu huruf, lam adalah satu huruf dan mim adalah satu huruf" (riwayat At-Tirmizi).

Mu'az Al-Johani meriwat bahawa Rasullah SAW bersabda:
"Sesiapa membaca al-Quran dan beramal dengan apa-apa yang terkandung dalamnya maka kedua-dua ibu bapanya akan dipakaikan mahkota pada hari kiamat yang sinaran mahkota itu akan melebihi daripada cahaya matahari, sungguhpun matahari itu berada didalam rumah-rumah kamu di dunia ini. Bayangkanlah bagaimana pula keadaan orang yang dirinya sendiri beramal dengan al-Quran?" (Hadith riwayat Ahmad, Abu Daud).